Hadi bagi bayangan kerjasama MN bersama Bersatu kian menjadi kenyataan

Hadi bagi bayangan kerjasama MN bersama Bersatu kian menjadi kenyataan

Kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Bersatu bagi membentuk gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kemungkinan besar menjadi kenyataan.

Ia selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memuat naik gambar di Facebooknya, menunjukkan pertemuan beliau bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita berjaya menyatukan ketiga-tiga parti. Kita tak boleh berpisah dengan Umno, tak boleh berpisah dengan Bersatu,” kata Abdul Hadi.

Beliau sebelum ini dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia menyatakan tidak mustahil MN mampu meraih majoriti dua pertiga dalam PRU15 jika bertembung satu lawan satu dengan pembangkang di semua kerusi.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, selagi dipersetujui semua parti dalam MN, pertandingan satu lawan satu akan membolehkan gabungan itu meraih majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, malah tidak mustahil dua pertiga 148 kerusi.

Beliau berpendapat, Bersatu juga boleh memenangi PRU15 jika menyertai MN.