Happy Birthday Kembar

Happy Birthday Kembar

Muhammad Mustakim Ramli

Selamat Hari Lahir buat pasangan kembar bola sepak, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha yang ke 33 pada hari ini.

Pasangan kembar yang dilahirkan pada 3 Ogos 1987 di Seremban,  Negeri Sembilan ini sebenarnya dilahirkan pada hari raya haji.

Nama mereka diambil sempena perayaan Aidiladha iaitu Aidil untuk abang, manakala Adha untuk adik.

Lahir pada 1987 mungkin antara faktor pasangan kembar ini menggunakan nombor 8 (Zaquan) dan 7 (Aidil) pada jersi mereka.

Kembar yang masing-masing bermain di posisi pertahanan (abang) dan penyerang (adik) ini mula mencuri perhatian di Sukma 2004 bersama negeri kelahiran mereka, Negeri Sembilan.

Pada sukan dwi tahunan itu, pasangan kembar yang ketika itu baru berusia 17 tahun berjaya membantu Negeri Sembilan meraih pingat emas dalam acara bola sepak.

Kedua mereka kemudian beraksi dengan skuad senior Negeri Sembilan, di mana berjaya memenangi Liga Super pada 2005 dan bergelar naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Kecemerlangan kembar ini bersama Negeri Sembilan membantu pasukan itu mengakhiri kemarau Piala Malaysia selama 61 tahun dengan memenanginya pada 2009, selain turut menjuarai Piala FA tahun berikutnya.

Aidil Zafuan dan Zaquan Adha kemudian berhijrah ke pasukan ATM pada 2012 dan pada tahun yang sama membantu pasukan itu memenangi Liga Perdana.

Bersama ATM hanya semusim, mereka kemudian menyertai revolusi skuad Harimau Selatan, JDT pada 2013.

Kembar ini tidak pernah berpisah selepas bermain bersama sebelum Zaquan mengubah haluannya bersama Perak pada 2017, Kuala Lumpur (2018) dan kini Kedah.

Karier Aidil bersama JDT membantunya meraih lebih banyak gelaran juara berbanding Zaquan, di mana dia memenangi kesemua kejuaraan domestik selain Piala AFC pada 2015.

Antara watak penting skuad bola sepak Malaysia baik peringkat bawah 19 hingga senior, pasangan kembar ini antara pemain yang memenangi pingat emas Sukan Sea pada 2009 di Laos.

Walaupun mereka adalah pemain kegemaran Datuk K Rajagopal, masalah kecederaan menjadi penghalang pasangan ini menjadi sebahagian skuad emas Piala AFF pada 2010.

Paling hampir mereka memenanginya adalah pada 2018 iaitu bergelar Naib Juara Piala AFF selepas tunduk pada Vietnam.