Jangan kerana ‘mileage’ politik, kamu burukkan bangsa sendiri

Jangan kerana ‘mileage’ politik, kamu burukkan bangsa sendiri

Wan Faizal Ismayatim

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya membidas Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad yang didakwa memburukkan bangsa sendiri.

Ia susulan ciapan Ahli Parlimen Shah Alam itu di Twitternya mengenai ketuanan Melayu dan mengaitkannya dengan Zionisme, White Supremacist dan Nazi.

“Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba Khalid membuat kenyataan sebegini. Biasanya apabila duduk saja-saja sambil bosan-bosan semasa cuti, dan membuat luahan sebegini datang dari suatu perasaan dan emosi yang menebal dan terpendam lama.

“Apa yang terbuku di dalam Khalid terhadap Ketuanan Melayu sebenarnya? Apakah Khalid merasakan Ketuanan Melayu perlu dihapuskan kerana dianggap ‘sesat’ sebagaimana aliran sesat lain?

“Sejak bila Ketuanan Melayu itu sama seperti Zionisme, Nazi Hitler dan White Supremacist Trump? Sejak bila orang Melayu memahami Ketuanan Melayu sebegitu rupa?,” tulis Aminuddin di Facebooknya.

Aminuddin menambah, orang Melayu sudah membuktikan mereka bangsa yang sangat bertoleransi walaupun sekian lama hidup dengan Ketuanan Melayu.

Malah, katanya, kaum lain mampu hidup mewah dan kaya raya di Malaysia, termasuklah di kawasan majoriti Melayu.

“Saya tak faham, apa faedahnya Khalid mengeluarkan kenyataan liar sebegini. Jangan kerana ‘mileage’ politik, kamu sanggup memburuk-burukkan bangsa sendiri,” katanya.

Khalid dalam ciapan di Twitter semalam menulis:

‘Ketuanan Yahudi’ menghasilkan ‘Zionisme’.

‘Ketuanan Aryan’ menghasilkan ‘Nazi’ Hitler.

‘Ketuanan Kulit Putih’ menghasilkan ‘White Supremacist’ Trump.

‘Ketuanan Melayu’ sealiran dengan tiga fahaman sesat ini.

Tolak Ketuanan bangsa!

‘Kedudukan Istimewa’ bukan ‘Ketuanan’..