Kluster Sivagangga: Kedai makan tak patuh semua SOP

Kluster Sivagangga: Kedai makan tak patuh semua SOP

Muhammad Mustakim Ramli

[Covid-19] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa semua majikan, peniaga, syarikat atau pemilik premis untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera melalui laman sesawangnya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata penggunaan aplikasi itu di semua premis bagi memudahkan proses pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19.

Katanya, kes kluster Sivagangga menyebabkan Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri menghadapi beberapa cabaran dalam menjalankan sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat.

“Ini kerana kedai makan yang terbabit didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera mahupun merekod kehadiran serta suhu badan pelanggan.

“Hari ini, satu kes baharu dilaporkan, iaitu pelanggan tetap kedai makan itu.

“Beliau telah menjalani saringan kendiri di fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagaimanapun pada 31 Julai, individu itu mula mengalami gejala demam dan batuk namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan terdekat untuk rawatan segera.

“Hanya sehari kemudian, iaitu selepas pembabitan dalam aktiviti semasa Aidiladha, kes telah memaklumkan bahawa beliau adalah kontak rapat kepada kes indeks.

“Susulan itu, saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif Covid-19. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, mengambil iktibar daripada kes itu, KKM mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan maklumat penting seperti sebarang kontak dengan kes positif Covid-19.

“Orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19,”katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham, berkata situasi terkini kluster itu setakat jam 12 tengah hari tadi seramai 425 orang disaring.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 21 kes dikesan positif, 362 negatif dan 42 kes masih menunggu keputusan,” katanya.