Kluster Sivagangga: PKPD bermula hari ini hingga 30 Ogos

Kluster Sivagangga: PKPD bermula hari ini hingga 30 Ogos

Muhammad Mustakim Ramli

[Covid-19]
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini meluluskan permohonan kerajaan Kedah untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, mengambil kira 11 kes baharu berpunca daripada Kluster Sivagangga di Kedah yang membabitkan empat mukim, Kerajaan Kedah telah memohon untuk melaksanakannya.

“Ia meliputi radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh iaitu Mukim Hosba, Kubang Pasu; Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (PadangTerap).

“PKPD secara pentadbiran di kawasan terbabit adalah dari 3 sehingga 30 Ogos 2020,” katanya hari ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKPD secara pentadbiran akan mengguna pakai SOP sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitarnya.

“Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia akan membuat ujian saringan ke atas kira-kira 7,000 penduduk di kawasan yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kawasan masjid dan rumah ibadat di kawasan itu turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat jumaat.

“Jemaah dibenarkan seramai tiga orang untuk melaksanakan solat jemaah di masjid,” katanya.