Pakai alat pemantauan elektronik sekiranya ke Singapura

Pakai alat pemantauan elektronik sekiranya ke Singapura

Pelancong yang berkunjung ke Singapura perlu memakai alat pemantauan elektronik selama 14 hari, mulai Selasa depan.

Arahan itu meliputi bagi mereka yang perlu menjalani kuarantin di luar fasiliti disediakan.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Kementerian Sumber Manusia (MOM) dan Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataannya menjelaskan, ia turut membabitkan rakyat Singapura, penduduk tetap, pemegang pas lawatan jangka panjang, pekerja dan tanggungannya.

Hanya kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah akan dikecualikan daripada arahan itu.

“Setibanya di Singapura, pelancong yang perlu menjalani kuarantin di kediaman mereka akan diberikan alat pemantauan elektronik di pusat pemeriksaan selepas urusan imigresen. Mereka perlu mengaktifkan alat berkenaan sejurus tiba di kediaman masing-masing,” katanya seperti dilaporkan Agensi.

Pihak berkuasa akan melakukan susulan untuk menjejaki kedudukan pelancong terbabit dan membantu menyelesaikan sebarang isu teknikal atau mengambil tindakan undang-undang, jika alat itu tidak diaktifkan.

Sepanjang tempoh 14 hari itu, setiap individu akan menerima pemberitahuan menerusi alat itu dan perlu memberi maklum balas pada masa diperuntukkan, kata agensi itu.

Pihak berkuasa akan mendapat amaran, jika individu terbabit melakukan apa-apa cubaan untuk meninggalkan rumah atau merosakkan alat itu dengan ia akan disusuli siasatan, kecuali jika mereka menghadiri temu janji bagi saringan COVID-19.

Sesiapa ditahan kerana melanggar arahan kuarantin di rumah atau merosakkan alat pemantauan elektronik itu akan berdepan hukuman denda hingga S$10,000 (RM30,668) dan penjara maksimum enam bulan.

Bagi pelancong, pihak berkuasa akan mengambil ‘tindakan pentadbiran lanjut’, seperti membatal atau memendekkan tempoh kebenaran dan pas untuk tinggal atau bekerja di Singapura, kata agensi itu.

Pelancong perlu menyahaktifkan, sebelum membuang atau memulangkan alat berkenaan selepas selesai menjalani tempoh kuarantin.

Alat itu dilengkapi isyarat GPS dan 4G atau bluetooth untuk mengenal pasti sama ada individu terbabit berada di sekitar rumah atau sebaliknya.

“Alat ini tidak menyimpan data peribadi, selain tak dilengkapi fungsi merakam suara dan video serta data dihantar peranti ini dilindungi oleh enkripsi,” kata agensi itu.

Hanya pegawai yang diberi kuasa mempunyai akses kepada data dikumpul melalui alat itu bagi tujuan pemantauan dan siasatan.