Penghadang lut sinar pisahkan Ahli Parlimen

Penghadang lut sinar pisahkan Ahli Parlimen

Fitri Nizam

[Parlimen]
Dalam usaha melaksanakan penjarakan fizikal, Dewan Rakyat bermula hari ini memasang penghadang lut sinar di tempat duduk Ahli Parlimen sebagai pemisah.

Selain itu, setiap Ahli Parlimen diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kelonggaran masih diberi jika Ahli Parlimen mahu bertanya soalan dan berucap.

“Pemakaian penutup muka diwajibkan setiap masa di dalam Dewan dan hanya dibuka jika Yang Berhormat hendak berucap.

“Ahli Yang Berhormat hendaklah menarik penghadang semasa duduk di dalam dewan, untuk memastikan jarak pemisah antara ahli Yang Berhormat dan tiada kontak rapat,” katanya pada permulaan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun, sebahagian Ahli Parlimen perlu duduk di tempat duduk pegawai di sebelah kiri dan kanan, kerana hanya sebahagian penghadang lut sinar yang dapat dipasang dalam tempoh terdekat ini.

Pemakaian penutup muka diwajibkan bermula 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Azalina berkata, pemasangan penghadang lut sinar di semua tempat Ahli Parlimen dijangka selesai tidak lama lagi.

“Dijangkakan semua Yang Berhormat dapat duduk di blok utama Dewan Rakyat minggu hadapan selepas semua penghadang lut sinar siap dipasang,” katanya.