PRU15: MN boleh menang selesa jika satu lawan satu

PRU15: MN boleh menang selesa jika satu lawan satu

Tidak mustahil Muafakat Nasional (MN) mampu meraih majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika bertembung satu lawan satu dengan pembangkang di semua kerusi.

Perkara itu dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia yang disiarkan hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata selagi dipersetujui semua parti dalam MN, pertandingan satu lawan satu akan membolehkan gabungan itu meraih majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, malah tidak mustahil dua pertiga 148 kerusi.

Beliau berpendapat, Bersatu juga boleh memenangi PRU15 jika menyertai MN.

“Sekiranya gabungan ini bertanding dua penjuru, besar lagilah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan,” katanyam

Abdul Hadi berkata, dalam mencapai hasrat itu semua parti dalam MN perlu ikhlas dan tidak khianat dengan melakukan sabotaj sesama sendiri.

Katanya, sekiranya sesebuah parti menang lebih banyak kerusi, ia tidak boleh meninggalkan gabungan itu.

“Yang penting, kita setia kepada perjanjian, iaitu piagam MN,” katanya.

Dalam soal rundingan pembahagian kerusi, beliau berkata ia perlu diserahkan kepada pimpinan PAS dan Umno tanpa campur tangan akar umbi yang mempunyai pandangan sendiri.

Minggu lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan minat untuk parti itu untuk menyertai MN.