Tak perlu pakai ‘mask’ dalam kenderaan persendirian – Ismail Sabri

Tak perlu pakai ‘mask’ dalam kenderaan persendirian – Ismail Sabri

Muhammad Mustakim Ramli

[Covid-19]
Polis akan membatalkan saman dikenakan terhadap mana-mana individu yang tidak memakai pelitup muka ketika dalam kenderaan persendirian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sekiranya ada yang sudah membayar saman berkenaan, mereka boleh menuntut semula dengan pejabat kesihatan.

“Semalam tular di media sosial, ada (individu) yang dikenakan kompaun (tidak pakai pelitup muka) dalam kenderaan persendirian dan itu tidak betul.

“Individu yang menaiki kenderaan persendirian tidak perlu memakai pelitup muka dan tidak perlu juga diambil tindakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya percaya polis mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan kompaun berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Begitu juga bagi mereka yang berada di tepi pantai, kalau dia seorang duduk di situ dan tiada kesesakan, tidak perlu disaman.

“Contoh lain, padang bola adalah tempat awam, tetapi berkeluasan besar yang mampu dilakukan penjarakan fizikal, jadi tidak perlu dikenakan kompaun juga,” katanya.

Beliau berkata, pelitup muka diwajibkan bagi kawasan yang sesak dan penggunaan pengangkutan awam.

“Hanya kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah tidak diwajibkan memakai pelitup muka kerana dikhuatiri boleh menyebabkan mereka lemas.

“Namun, ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak membawa anak yang masih kecil di tempat awam yang sesak,” katanya.