1MDB pasti diurus sekumpulan orang bodoh – Muhammad Shafee

1MDB pasti diurus sekumpulan orang bodoh – Muhammad Shafee

Pasukan pembelaan bekas Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perbicaraan RM2.28 bilion dana 1MDB hari ini, mengecam seorang bekas pegawai syarikat itu, kerana didakwa telah ditipu lebih daripada sekali.

Ia dinyatakan Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, semasa pemeriksaan balas dengan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi Muhammad.

Muhammad Shafee membangkitkan kegagalan 1MDB untuk mengesan bahawa Aabar Investments PJS Ltd, yang didaftar di Virgin Islands, tiada kaitan dengan Aabar Investments PJS berpangkalan di Abu Dhabi.

“1MDB pastinya diuruskan oleh sekumpulan orang bodoh sehingga berdepan keadaan bermasalah (to fall in cobra pits).

“Saya tiada komen,” balas Shahrol seperti dilapor Malaysiakini.

Sebelum ini, Shahrol berkata beliau percaya Aabar BVI adalah subsidiari kepada Aabar Investments PJS memandangkan kedua-duanya mempunyai pemegang jawatan sama, iaitu Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Badawy al-Hussainy.

Kedua-duanya berdepan tindakan jenayah di Emiriah Arab Bersatu.

Shahrol menambah dia tidak mengesahkan sama ada Aabar BVI atau Aabar Investments PJS memiliki kaitan atau tidak dan tidak pasti jika ada pegawai 1MDB lain yang berbuat demikian.

Beliau turut diajukan soalan adakah terkejut apabila International Petroleum Investment Company (IPIC) menafikan kaitan dengan Aabar BVI pada 2016.

Sebelum penafian IPIC itu, 1MDB membayar berbilion dolar kepada Aabar BVI daripada perolehan bon yang dikendalikan Goldman Sachs pada 2012, yang kemudiannya diselewengkan.

“Saya terkejut tapi tak terlalu besar. Saya sudah pun lali (numb) daripada pendedahan Sarawak Report berkenaan 1MDB.

“Kerana keadaan pada masa itu, pada 2015, misalnya apabila Bank Negara menyatakan Good Star Ltd bukan entiti Petrosaudi International, ia sekali lagi modus operandi yang sama,” katanya.

Fasa Petrosaudi International merupakan fasa paling awal dan berasingan, di mana dana 1MDB didakwa telah dicuri.

1MDB menyertai usaha sama dengan Petrosaudi pada 2009 tetapi Good Star Ltd, yang dikawal oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, diberi gambaran salah sebagai sebuah subsidiari Petrosaudi.

1MDB akhirnya memindahkan AS$1.03 bilion (RM4.34 bilion) kepada Good Star Ltd dan wang tersebut kemudian diselewengkan.

Shahrol merupakan CEO 1MDB sejak 2009 hingga 2013 dan ketika itu Najib masih Perdana Menteri dan menteri kewangan, sekaligus pengerusi lembaga penasihat serta pemegang saham 1MDB.