Benarkan pengundi Sabah di Semenanjung undi pos 

Benarkan pengundi Sabah di Semenanjung undi pos 

Thaddius Unnip

[PRN Sabah]
Pengundi dari Sabah di Semenanjung perlu dibenarkan mengundi secara pos bagi memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih tanpa perlu pulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Dapsy Sabah, Phoong Jin Zhe, menjelaskan langkah itu juga bersesuaian dengan situasi semasa pandemik Covid-19, selain mengambil kira kos penerbangan yang tinggi.

Beliau berkata, ia juga bertepatan dengan gesaan Bersih 2.0 agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pengundian secara pos kepada warga Sabah, khususnya belia di Semenanjung.

“Selaras PRN nanti, saya menggesa SPR membenarkan warga Sabah yang belajar dan bekerja di Semenanjung untuk menggunakan undi pos dengan mengambil kira pandemik Covid-19 dan kos balik ke Sabah yang tinggi.

“Ini kerana ramai warga Sabah berada di luar dan mungkin tidak dapat balik untuk mengundi di pusat pengundian, terutama belia kita yang berhijrah ke Semenanjung.

“Undi mereka sangat bernilai sama seperti warga Sabah di sini dan mereka juga ada hak untuk memastikan suara mereka didengari menerusi peti undi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang itu berkata, ia juga selaras dengan usaha berterusan kerajaan negeri dalam menegakkan demokrasi dan memastikan sistem pilihan raya yang adil.

Pendekatan itu, katanya penting dalam usaha mengatasi ketidakstabilan politik di Sabah dan seluruh negara, selain memastikan demokrasi ditegakkan walaupun ketika krisis kesihatan yang turut menjejaskan ekonomi.

“Ramai warga Sabah mungkin berada jauh tetapi mereka tidak ketinggalan daripada memelihara demokrasi kita, untuk mengembalikan mandat kepada wakil yang mereka percayai dan menegakkan keadilan, seperti yang mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Sehubungan itu, saya menggesa SPR, sejajar dengan gesaan Bersih 2.0, untuk membenarkan undi pos dan kepada semua warga Sabah di negeri ini atau Semenanjung untuk mengundi dan menghukum katak politik sekali gus mengembalikan kestabilan di Sabah,” katanya.