Covid-19: Cuma satu kes, tiada kematian

Covid-19: Cuma satu kes, tiada kematian

Nilam Oshman

[Covid-19]
Hanya satu kes positif Covid-19 dicatatkan hari ini, melibatkan warga tempatan di Perlis, menjadikan jumlah kes di Malaysia sebanyak 9,002.

Ia juga adalah kes harian terendah sejak lebih sebulan lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 16 kes yang telah pulih hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 8,684 kes iaitu 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 193 manakala tiada kes kematian dicatatkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas pencapaian itu, hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat serta agensi.

Kementerian Kesihatan (KKM), katanya, turut berharap masyarakat terus mengamalkan normal dan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Peringatan kepada rakyat Malaysia, penularan jangkitan Covid-19 boleh berlaku semula sekiranya kita leka dan mengambil mudah saranan, arahan serta amaran kerajaan.

“Oleh itu, masyarakat perlu terus mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 pada setiap masa bagi memastikan kita terus berjaya dalam memerangi wabak itu,” katanya.