Datuk Mahadzir Lokman, ikon penyiaran sepanjang zaman

Datuk Mahadzir Lokman, ikon penyiaran sepanjang zaman

Nurul Huda Abhar

Menonton kelibat tubuh personaliti bintang penyiaran yang disegani ketika mengacarakan Majlis Tilawah al-Quran Tahunan Antarabangsa saban tahun pasti menggamit kenangan ramai.

Penyampai berita dan personaliti televisyen, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman turut terkenal dengan kemahirannya bertutur pelbagai bahasa.

Kemampuan anak kelahiran Johor yang fasih berbahasa Perancis selain bahasa Melayu dan Inggeris, menguatkan lagi karismanya dalam dunia pengacaraan.

Genap dua tahun semalam iaitu pada 3 Ogos 2018, berita pemergiannya mengejutkan negara apabila beliau menghembuskan nafas terakhir selepas selesai menunaikan solat subuh di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada umur 61 tahun.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara bersebelahan pusara bondanya, Allahyarham Datin Nina Khatijah yang meninggal dunia pada Oktober 2013.

Biarpun punca kematian tidak dapat dipastikan, beliau pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 2017 akibat komplikasi paru-paru dan buah pinggang.

Keperibadian arwah semasa berkhidmat sebagai pengacara di TV3 sentiasa menjadi contoh kepada rakan-rakan seperjuangan yang melabel beliau sebagai ikon penyiaran.

Bagi Penolong Editor dan penyampai berita sukan TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil, dia mengenali Mahadzir ketika baru sahaja terlibat dalam dunia penyampaian berita.

Kemahiran arwah yang menguasai pelbagai bahasa membuatkan dirinya kagum serta cara beliau memberi ucapan pembukaan majlis lebih daripada satu bahasa tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pengacara sebelum ini.

Bertaraf antarabangsa

Allahyarham yang menuntut di Universiti Ohio di Athens, dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa juga sentiasa mempamerkan cara kerja profesional, setanding pengacara luar negara.

Menurut Hasnida, satu kekuatan pada insan yang bernama Mahadzir Lokman adalah apabila beliau berdiri di atas pentas, penonton sudah terasa aura personalitinya yang luar biasa.

“Bila sebut saja nama Mahadzir Lokman, orang boleh bayangkan cara dia berdiri dan pembawaan watak walaupun beliau belum bersuara.

“Penampilannya dan gaya bahasa badan ketika di pentas memang menunjukkan beliau sangat komited dan sentiasa profesional dalam kerja,” katanya ketika dihubungi Malaysia Post.

Salah satu kenangan ketika pernah bersama-sama dalam sebuah majlis, Hasnida masih teringat sebelum acara bermula, arwah meluangkan masa bersendirian sebentar untuk membuat persiapan akhir.

“Itu sebagai pemeriksaan terakhir selepas ‘rehearsal’ bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan kaedah sama menjadi ikutan penyampai berita serta pengacara yang lain.”

Mahadzir atau dikenali dengan panggilan Dale dalam kalangan teman rapat, diangkat di persada antarabangsa apabila dianugerahkan ‘Ordre Les Palmes Academiques’ oleh kerajaan Perancis pada 2006 atas usaha beliau mempromosikan Bahasa dan Kebudayaan Perancis.

Hasnida Hanim

‘Big brother’

Bagi bekas wartawan penyiaran, Mazlin Nordin atau lebih selesa disapa Cik Inn menganggap Allahyarham seperti ‘big brother’ ketika menjalani praktikal di TV3 pada tahun 1990.

Kenangan terlibat dalam program Sekapur Sireh dan Melodi yang ketika itu dihoskan arwah ternyata menjadi memori paling indah semasa masih bergelar pelajar.

Turut berkongsi pengalaman, Mazlin memberitahu arwah seorang yang gemar berjenaka dan suka bergurau sesama rakan sekerja.

“Ketika itu saya ikut dia buat liputan penyanyi kanak-kanak berasal dari Perancis yang buat persembahan di Singapura. Semasa perjalanan balik dia beritahu kami tunggu di terminal dua.

“Rupanya dia tunggu di terminal satu. Bergegas saya berlari ke terminal satu.

Mazlin Nordin (tengah) bergambar kenangan bersama Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman dan rakan.

Arwah kemudian dalam nada bergurau berkata sengaja buat begitu dan ia antara kenangan manis semasa bekerja dengannya,” katanya yang berkhidmat dalam dunia penyiaran selama 27 tahun.

Tambah Mazlin, Mahadzir juga dikenali sebagai insan yang suka memberi semangat dan sokongan kepada orang lain, dan sentiasa berkongsi ilmu.

Beliau dengan berbesar hati pergi ke Institut Pengajian Mara (ITM) yang kini Universiti Teknologi Mara (Uitm) untuk memenuhi jemputan pelajar di sana walaupun mempunyai jadual kerja terhad dan kekangan waktu.

Sikap pemurah

Mahadzir yang juga dikenali dengan program bual bicara bertajuk Global, terkenal dengan sikap pemurah dan suka menyenangkan rakan-rakan lain.

Allahyarham terkenal dengan sikap pemurah dan merendah diri

Mazlin memberitahu arwah memang seorang yang menyenangkan rakan-rakan dan akan mengirimkan poskad kepadanya ketika berada di luar negara.

“Satu lagi kenangan dengan arwah Dale, kalau di luar negara beliau akan kirimkan saya poskad sebab tahu saya suka kumpul poskad.

“Semoga arwah Dale tenang di sana bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah,” ucapnya.

Bagi jurukamera, Ahmad Fadillah Abdul Aziz, Mahadzir seorang insan yang sangat merendah diri serta tidak pernah lokek memberi tunjuk ajar.

Sepanjang bertugas di bawah satu bumbung, arwah sangat disenangi rakan sekerja mahupun sesiapa sahaja yang mengenali dirinya.

Ahmad Fadillah

Walaupun nama besar dalam bidang pengacaraan, beliau tidak pernah sama sekali membezakan pergaulan dengan petugas-petugas lain.

“Dia seorang yang sangat baik, merendah diri dan tidak sombong. Malah, sedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman tidak kira kepada sesiapa pun,” katanya.