Giliran pemain Kelantan luah isu tunggakan gaji

Giliran pemain Kelantan luah isu tunggakan gaji

Bukan sahaja pemain skuad Hijau Kuning berdepan situasi tunggakan gaji, malah pemain The Red Warrior (TRW) turut mengalami masalah sama ketika ini.

Kapten pasukan, Farisham Ismail dan Nik Akif Syahiran Nik Mat memuat naik luahan di laman sosial masing-masing berkaitan tunggakan gaji dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Farisham memuat naik luahan di InstaStory, menyatakan kepimpinan yang baik akan melaksanakan segala kebajikan untuk pemain, bukan hanya berdiam diri dan melihat pemain menderita. “Di mana tanggungjawab anda?” soalnya.

“Kami hanya menuntut hak kami. Jika tak mampu, lepaskan dan berkorbanlah. Selamat Hari Raya Korban.”

Sementara itu, Nik Akif memuat naik hantaran yang mahu individu bertanggungjawab di KAFA meletak jawatan sekiranya tidak mampu untuk menjalankan tugas dengan sebaiknya.

“Jawatan yang diberikan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk dipikul, bukan hanya sekadar jawatan dan nama. Kalau tak ada nak pikul tanggungjawab, lebih baik undur diri.

“Kerana itu adalah lebih baik untuk diri kamu dan pasukan TRW khasnya. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri, kerana kamu seorang, semua menjadi mangsa. Kasihanilah kami,” katanya.

Kelantan berdepan masalah kewangan yang krtitikal berikutan bebanan hutang lapuk yang mencecah RM7 juta selain tuntutan tunggakan gaji dua pemain import, Cassio de Jesus dan Bruno Lopes.