Kematian Adib: Syor inkues semula, tuduh 12 suspek

Kematian Adib: Syor inkues semula, tuduh 12 suspek

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata siasatan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu dengan dua cadangan disyorkan.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang bersidang pada 27 September 2019, bahawa kematian Muhammad Adib bukan disebabkan kemalangan tetapi perbuatan jenayah oleh dua atau lebih suspek.

Dua cadangan itu, pertama menuduh 12 suspek yang merusuh dan menyerang jentera bomba mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Kedua, mengadakan inkues semula untuk siasatan lanjut jika dipersetujui Peguam Negara di bawah peruntukan Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Polis telah menjalankan siasatan berdasarkan arahan Pejabat Peguam Negara dan mengumpul bukti untuk dikemuka semula kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Dia dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira jam 1 pagi, sebelum dipindahkan ke IJN, keesokan malamnya.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, anggota bomba itu menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.