Kluster Sivagangga: Peniaga tak sempat bernafas, kini dugaan bertimpa

Kluster Sivagangga: Peniaga tak sempat bernafas, kini dugaan bertimpa

Muhammad Mustakim Ramli

[Covid-19]
“Sebahagian peniaga baru sahaja nak ‘bernafas’ selepas PKP, kini berdepan dengan situasi ini kembali gara-gara individu tidak bertanggungjawab.”

Demikian luah Sid Ahmad, peniaga di Napoh, Kubang Pasu, susulan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Pentadbiran angkara Kluster Sivagangga.

Mengakui semua jenis perniagaan di kawasan PKPD kini terjejas, Sid pemilik percetakan Napoh Sticker bagaimanapun mengakui langkah kerajaan itu tepat demi keselamatan semua pihak.

“Saya sendiri terpaksa ubah cara berniaga dengan bergantung sepenuhnya kepada peniagaan atas talian selain operasi perlu dilakukan di rumah,” katanya kepada Malaysia Post hari ini.

Sid berkata, dia bersimpati pada peniaga yang tidak dapat menjalankan operasi kerana bukan semua perniagaan dapat dijalankan secara atas talian.

“Ketika PKP dilaksanakan Mac lalu, saya jalankan perniagaan secara ‘online’ dengan perkakasan cetak semuanya dibawa balik ke rumah.

“Hanya kaedah ini saja yang boleh ‘survive’ walaupun operasi perniagaan hanya boleh dilakukan sekitar 50 peratus,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Napoh Hulu, Mohd Hafiz Nor Alaihudin, berkata sebelum PKPD dilaksanakan dia tidak menghantar dua anaknya ke sekolah walaupun tidak termasuk dalam senarai yang ditutup kerana bimbang.

“Anak saya bersekolah di Changlun, iaitu 8 km dari kedai makan yang menjadi punca kluster. Walaupun saya sekeluarga tidak pergi makan di kedai berkenaan, rasa bimbang itu tetap ada.

“Saya khuatir jika ada sesiapa sahaja yang sudah dijangkiti dari Napoh ke sekolah berkenaan akan menyebabkan timbul masalah kemudian hari,” katanya.

Mohd Hafiz

Mohd Hafiz berkata, kedudukan rumahnya dalam radius 1 km dari kedai makan itu menyebabkan rakan sekerjanya turut bimbang.

“Hari ini saya sudah dimaklumkan majikan supaya kerja dari rumah sahaja,” katanya.

Dia bagaimanapun berharap pihak berkuasa dapat memaklumkan dengan segera kaedah dalam urusan membeli barangan keperluan kerana stok makanan hanya bertahan seminggu lagi.

Anggota polis membuat sekatan jalan raya di sekitar Napoh.

Semalam, kerajaan melaksanakan PKPD secara pentadbiran di Napoh sehingga 30 Ogos ini, mengambil kira 11 kes baharu berpunca daripada Kluster Sivagangga di Kedah yang membabitkan empat mukim.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia meliputi radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh.

Kawasan yang terbabit ialah Mukim Hosba, Kubang Pasu; Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

Kedai makan yang menjadi punca penularan Kluster Sivagangga