Mahdzir nafi minta habuan RM60 juta

Mahdzir nafi minta habuan RM60 juta

Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan dakwaan saksi, Rayyan Radzwill Abdullah berkaitan “habuan” RM60 juta yang diminta daripada syarikat Jepak Holdings.

Mahdzir berkata, beliau terkejut dengan kenyataan saksi tersebut berkaitan kelulusan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

“Saya telah menafikan tuduhan-tuduhan itu semasa dipanggil sebagai saksi dan memberi keterangan di mahkamah dalam kes yang sama sebelum ini.

“Jujur saya kongsikan yang saya terkilan dengan penulisan-penulisan yang saya baca. Rata-rata kelihatan seperti cubaan menjejas dan memburukkan imej dan reputasi saya di mata rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penulisan-penulisan itu telah memberi kesan tidak elok kepada pekerjaan yang diamanahkan kepadanya.

“Saya sedang berhubung dengan peguam untuk mendapatkan nasihat guaman dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menjaga nama baik dan kepentingan saya.

“Saya tidak boleh putuskan sebarang tindakan undang-undang lagi kerana saya tidak tahu apa dikatakan oleh saudara Rayyan di Mahkamah dan saya telah minta peguam saya untuk memohon mendapatkan nota keterangan daripada mahkamah sebelum saya komen dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini.

“Walaupun begitu, saya sarankan kepada orang ramai dan pengamal media untuk tidak membuat andaian dan tanggapan berdasarkan hanya daripada sumber yang terhad.

“Saya yakin fungsi mahkamah adalah untuk menentukan suatu fakta itu sah dan betul, berkenaan apa jua keterangan yang di berikan oleh mana-mana saksi di dalam perbicaraan,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak, termasuk beliau sendiri hendaklah menghormati fungsi tersebut dan tidak mendahului mahkamah dalam hal ini.

Mahdzir sebelum ini tampil sebagai saksi kelima pendakwaan bagi memberi keterangan kes rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor bersama syarikat berkenaan.