OKU berdaftar, pelajar B40 boleh mohon pengecualian kos kuarantin

OKU berdaftar, pelajar B40 boleh mohon pengecualian kos kuarantin

Selain pemegang kad orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan (B40) boleh memohon pengecualian bayaran kos kuarantin.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelajar terbabit perlu memaklumkan kepada sekretariat yang bertugas untuk pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Setelah pengesahan dibuat, pelajar yang layak akan diberi borang kelulusan dan ia perlu dikemukakan kepada pihak hotel sewaktu membuat pendaftaran bilik.

“Bagi pelajar yang telah tamat pengajian pula, hanya mereka yang dibawah tajaan sahaja tidak perlu membayar kos kuarantin kerana kos ditanggung oleh pihak penaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata caj kos kuarantin di semua stesen kuarantin sama ada hotel ataupun Institut Latihan Awam (ILA) adalah sama.

Bagi individu yang enggan membayar caj kuarantin atau menandatangani perjanjian
pembayaran, mereka akan dihantar ke ILA terlebih dahulu memandangkan ia adalah milik kerajaan.

Selain itu katanya, penempatan individu terbabit di ILA boleh dilakukan tanpa pembayaran deposit terlebih dahulu.

“Ini bagi mengelakkan individu terbabit terdedah kepada orang awam.

Di ILA, mereka perlu menyelesaikan pembayaran caj kuarantin RM150 sehari dalam masa 14 hari dan sekiranya gagal, mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 dan tindakan mahkamah,” katanya.