Polis sahkan geledah pejabat Al Jazeera

Polis sahkan geledah pejabat Al Jazeera

Polis mengesahkan menggeledah tiga lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan stesen penyiaran Al Jazeera, Astro dan Unifi TV hari ini.

Ia berkaitan siasatan berhubung penerbitan dokumentari ‘Locked Up in Malaysia‚Äôs Lockdown’ oleh Al Jazeera, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata tindakan dibuat susulan waran dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Sepang.

“Tindakan pelaksanaan waran geledah ini dilakukan bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang turut membuka kertas siasatan ke atas stesen penyiaran terbabit.

“Serbuan turut merampas komputer dan kesemua rampasan akan dihantar ke SKMM untuk analisa lanjut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Huzir berkata keterangan saksi lain turut diambil ketika serbuan bagi membantu siasatan dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat.

“PDRM menegaskan tindakan yang dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang.

“Tiada individu ataupun entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia,” katanya.

Petang tadi, Al Jazeera menerusi laporan di portalnya mengesahkan perkara pejabat mereka di ibu negara diserbu polis.

Dalam serbuan itu, dua komputer dilaporkan dirampas.

Dokumentari berdurasi 25 minit itu mendakwa Malaysia memberi layanan buruk terhadap warga asing ketika mengawal penularan pandemik Covid-19.

Kredit Foto: Al Jazeera