Prasarana beri kerjasama kes cabul

Prasarana beri kerjasama kes cabul

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberi kerjasama penuh kepada polis bagi membantu siasatan terhadap kes cabul pelajar wanita yang melibatkan seorang anggota polis bantuannya.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, anggota terbabit telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya tengah hari tadi bagi memberi keterangan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut Prasarana, pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan akan menyerahkan sebarang penemuan kepada pihak polis.

“Prasarana memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau melakukan jenayah,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, anggota polis bantuan berusia 36 tahun disyaki mencabul seorang remaja perempuan di kawasan tangga sebuah stesen transit aliran ringan (LRT) di Petaling Jaya.

Suspek dikatakan mengajak mangsa duduk di tangga dan mula berbual sebelum memaksa remaja itu bersalam lalu mencabul dan beredar meninggalkan mangsa.

Mangsa yang bersendirian sebelum itu didatangi suspek yang mempelawa menemaninya atas faktor keselamatan.