PRN Sabah: Cadang lambang Warisan wakili semua parti bertanding

PRN Sabah: Cadang lambang Warisan wakili semua parti bertanding

Thaddius Unnip

Logo Parti Warisan Sabah (Warisan) dicadang diguna sebagai lambang tunggal untuk semua parti bertanding yang bekerjasama dengan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Cadangan itu disuarakan Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Warisan.

Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah, Khairuddin Daud, berkata ia juga sebagai tanda solidariti dalam mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menolak pemimpin politik yang tidak berprinsip.

“Pemuda Amanah berpandangan, dalam PRN, seluruh parti yang mendukung kepemimpinan Ketua Menteri interim ketika ini seperti kompenan Pakatan Harapan (PH), Amanah, DAP dan PKR serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) wajar menggunakan satu logo iaitu logo Warisan di setiap kerusi ditandingi.

“Penggunaan logo Warisan adalah sebagai menunjukkan kesatuan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti itu.

“Meskipun diugut, ditekan dan cuba dibeli oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) dari Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Warisan tetap bertahan mempertahankan mandat rakyat Sabah sehingga DUN dibubarkan,’ katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, rata-rata rakyat Sabah khususnya anak muda menolak pemimpin yang disifatkan seperti ‘katak’ berikutan kekecewaan rakyat terhadap sikap pemimpin politik yang mementingkan periuk nasi sendiri.