PRN Sabah: PCS landasan baharu perjuangan Anifah

PRN Sabah: PCS landasan baharu perjuangan Anifah

Thaddius Unnip

[PRN Sabah] Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dijangka mempertaruhkan Parti Cinta Sabah (PCS) yang baru diketuainya bagi menggalas cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu kini adalah Presiden PCS, menggantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Wilfred Bumburing, yang sebelum ini menerajui parti itu.

Anifah mengambil alih kepemimpinan PCS ketika Mesyuarat Agung parti itu pada 26 Julai lalu selepas mendapat sokongan sebulat suara perwakilan yang mencalonkan beliau sebagai presiden baharu.

Pada Mesyuarat Agung itu, Bumburing yang meninggalkan UPKO sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Naib Presiden baharu parti itu juga disandang bekas pemimpin UPKO, Datuk Ewon Ebin. Kebanyakan pemimpin parti itu adalah bekas ahli parti tempatan seperti UPKO.

Anifah sebelum ini meninggalkan Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas sehingga kehilangan kerusi Parlimen Kimanis, berikutan petisyen pilihan raya 2018 yang menyebabkan kemenangannya dibatalkan pada akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kenyataan rasmi mengenai persiapan Anifah atau PCS untuk menghadapi PRN, memandangkan parti itu baru disusun dan melalui proses penjenamaan semula.

Difahamkan, Anifah dijangka membuat kenyataan mengenai kedudukan dan pendirian parti itu dalam masa terdekat.

Parti itu akan dijenamakan semula dengan nama baharu Parti Kesedaran Rakyat Sabah (Sedar), namun nama baharu itu belum digunakan kerana masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agungnya, Ansari Abdullah, dalam laman Facebook beliau, turut membayangkan hasrat PCS untuk mengambil bahagian dalam PRN kali ini, ketika ditanya netizen sama ada parti itu akan bertanding atau tidak.

“Insya-Allah.. baru nak susun dan rebrand (dijenamakan semula), Dewan Bubar,” katanya.

Jika Anifah bertanding, beliau mungkin memilih sama ada kerusi DUN Membakut atau Bongawan kerana kedua-dua kawasan berkenaan terletak dalam Parlimen Kimanis yang disandangnya selama lebih tiga penggal.

Anifah kehilangan kerusi Kimanis pada akhir tahun lalu berikutan petisyen pilihan raya 2018 difailkan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang yang menyaksikan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan pada Januari lalu.

PRK berkenaan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohammad Alamin dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Pada PRU 2018, PCS meletakkan calon di beberapa kawasan yang mempunyai ramai pengundi Bumiputera Bukan Islam, antaranya di Tamparuli dan Kuala Penyu, namun gagal memenangi sebarang kerusi.