Prosidng IPIC di Mahkamah London diteruskan, kata Peguam Negara

Prosidng IPIC di Mahkamah London diteruskan, kata Peguam Negara

Jabatan Peguam Negara menafikan laporan portal Sarawak Report bahawa kerajaan menghentikan prosiding mahkamah di London terhadap International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan 1MDB.

Dalam satu kenyataan hari ini, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengesahkan tiada tindakan untuk menghentikan prosiding mahkamah di London bagi membatalkan Perjanjian Penyelesaian antara 1MDB dengan IPIC yang ditandatangani pada 2017.

Idrus menegaskan kerajaan sentiasa bersifat terbuka untuk menimbang sebarang penyelesaian sekiranya terdapat tawaran yang sejajar dengan prinsip dan tanggungjawab kerajaan Malaysia.

Beliau menjelaskan, tanggungjawab kerajaan itu ialah bagi memastikan aset-aset negara dipulangkan dan pada masa yang sama keadilan ditegakkan.

“Sehubungan itu, perbincangan sentiasa dilakukan antara kedua-dua kerajaan, termasuk sewaktu kerajaan Pakatan Harapan dan juga kerajaan kini.

“Perbincangan ini hanya melibatkan pegawai-pegawai kerajaan Malaysia dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tanpa penglibatan mana-mana pihak lain,” katanya.

Baru-baru ini portal Sarawak Report mendakwa kerajaan menghentikan prosiding mahkamah di London terhadap Ipic dengan 1MDB dan Kementerian Kewangan dikatakan sedang berusaha untuk mengambil tindakan penyelesaian sebagai ganti.