Pusat pembelajaran alternatif untuk kanak-kanak Rohingya
[Parlimen] Kanak-kanak Rohingya masih diberikan akses pendidikan, kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Katanya, biarpun kerajaan tegas dengan pendirian bahawa pelarian Rohingya dilarang menuntut apa-apa hak di Malaysia, namun keperluan pendidikan kanak-kanak etnik itu tidak dipinggirkan.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mewujudkan Pusat Pembelajaran Alternatif (PBA) beserta garis panduan dan pendaftaran bagi memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak etnik berkenaan.
“Menerusi PBA kanak-kanak pelarian boleh mendapat akses pendidikan menggunakan kurikulum negara asal atau negara ketiga.
“Akses pendidikan itu diberi kepada kanak-kanak bukan warganegara Malaysia berumur 4 hingga 15 tahun yang tidak berpeluang mendapat akses kepada pendidikan formal, sama ada di institusi kerajaan atau swasta,” katanya.
Beliau yang menjawab soalan diajukan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS – Sik) di Dewan Rakyat semalam, berkenaan usaha kerajaan memastikan kanak-kanak pemohon suaka dan pelarian termasuk dari Rohingya, mendapat akses sistem pendidikan berkualiti dan konsisten.