Putra Sabah tentukan tanding atau tidak

Putra Sabah tentukan tanding atau tidak

[PRN Sabah] Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyerahkan kepada kepemimpinan parti itu di Sabah untuk menentukan sama ada mahu bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agungnya, Borhan Ahmad Zakaria, memaklumkan perkara itu akan diputuskan kepemimpinan Badan Perhubungan Putra Sabah yang dijadual bermesyuarat pada 8 Ogos ini.

Jelasnya, kepemimpinan Putra Sabah akan memperhalusi semua aspek sebelum membuat keputusan, terutama berkaitan kekuatan dan kemampuan parti itu setelah setahun melebarkan sayap ke Sabah.

“Proses penubuhan bahagian, sayap Wira, Wiranita dan Wirawati serta cawangan menjadi ukuran sebagai jentera jika hendak berdepan pilihan raya.

“Sebelum ini Putra memusatkan perhatian kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tidak menjangka akan berlaku PRN mengejut di Sabah.

“Malah kepemimpinan Putra Pusat membuat keputusan tidak akan menyertai mana-mana pilihan raya kecil (PRK) dan menumpukan perhatian kepada proses penubuhan Putra di akar umbi dan persiapan gerak kerja bagi PRU15,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Putra Sabah diberi autonomi dan kepercayaan untuk membuat keputusan berhubung tindakan yang perlu diambil parti itu bagi menghadapi PRN Sabah.

Tambahnya, sebagai parti yang menumpukan perjuangan untuk masyarakat Bumiputera, ia dapat diterima baik rakyat pribumi di Sabah.

“Putra disambut baik oleh pribumi di Sabah kerana ia parti yang bermatlamat memperjuang dan memperkasakan agenda bumiputera atau pribumi dengan berpaksikan kepada Perlembagaan Negara.

“Sejak dari awal lagi, Putra Pusat dan Putra Sabah bersetuju perlunya autonomi parti ini di Sabah dalam perjuangannya di negeri itu.

“Ia termasuk hal ehwal pengurusan parti peringkat negeri dan menentukan hala tuju perjuangannya, terutama isu pribumi Sabah serta pendirian politik dari semasa ke semasa,” katanya.

Putra diasaskan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Ali dan didaftarkan pada 8 Mei 2019 sebelum dilancarkan pada 28 September tahun lalu.