WFM terus usaha bawa Wushu ke Sukan Komanwel 2026

WFM terus usaha bawa Wushu ke Sukan Komanwel 2026

Sudah tiba masanya sukan wushu diperluas ke negara Komanwel selepas ia dipertandingkan pada temasya Sukan Dalam Dewan dan Bela Diri Asia, Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik Belia, kata Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt.

Menurut Kim Fatt, WFM akan meneruskan usaha membawa sukan itu ke temasya Sukan Komanwel 2026 selepas mendapat sokongan sejumlah besar negara anggota Komanwel.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) dan Persekutuan Wushu Asia (WFA), berkata usaha memasukkan acara wushu dalam Sukan Komanwel 2026 telah bermula sejak tahun lalu.

“Awal tahun ini, Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar surat sokongan dan saya juga telah menerima surat sokongan daripada IWUF untuk meningkatkan peluang sukan ini pada edisi 2026,” katanya.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagaimanapun belum mengumumkan tuan rumah untuk edisi 2026 manakala edisi 2022 akan diadakan di Birmingham, England dari 28 Julai hingga 8 Ogos tahun berkenaan dengan menampilkan 20 jenis sukan.