Bos Gaurus kekalkan semua pegawai dan pemain, tidak potong gaji

Bos Gaurus kekalkan semua pegawai dan pemain, tidak potong gaji

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) lega kerana dapat mengekalkan semua pegawai dan pemainnya walaupun terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, kata Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, biarpun berdepan banyak kekangan, PAFA juga memutuskan tidak membuat sebarang pemotongan gaji.

Menteri Besar Perak itu berkata, walaupun kantung kewangan PAFA turut terkesan, namun atas rasa tanggungjawab serta bantuan dan sokongan pelbagai pihak, perkara itu dapat dilaksanakan.

“Walaupun saingan Liga Super dan Liga Premier dapat diteruskan, tetapi Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League Musim 2020 telah dibatalkan atas faktor keselamatan.

“Isu pembatalan pertandingan ini turut menyaksikan beberapa pasukan dan kelab mengambil pendekatan menamatkan kontrak pegawai dan pemain mereka lebih awal sebagai langkah untuk mengimbangi kedudukan kewangan yang terjejas akibat Covid-19,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Tahunan Kali Ke-62 dan Kongres Luar Biasa PAFA 2020.

Teks ucapan beliau dibacakan Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Padzi Paharudin.

Ahmad Faizal berkata, walaupun baki saingan Liga Malaysia musim 2020 yang bersambung pada 26 Ogos ini akan dilangsungkan tanpa penonton, beliau yakin pemain Perak dan Perak 2 bersedia untuk berjuang mencipta kejayaan.

Katanya, kejayaan itu sedikit sebanyak akan menjadi pengubat duka dan menghadirkan ceria di saat berhadapan tempoh yang sangat mencabar ketika ini.

Pasukan Liga Super Perak akan memulakan semula saingan Liga Malaysia musim ini dengan bertemu Melaka United di Stadium Perak, pada 26 Ogos ini.