Cadangan buka semula inkues menidakkan keputusan mahkamah

Cadangan buka semula inkues menidakkan keputusan mahkamah

Fitri Nizam

Cadangan kerajaan untuk mengadakan semula inkues terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, seolah-olah menidakkan keputusan mahkamah sebelum ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata cadangan itu walaupun dibenarkan undang-undang adalah membuang masa dan melengahkan lagi keadilan terhadap Allahyarham Adib dan keluarganya.

Katanya, Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September tahun lalu sudah memutuskan punca kematian anggota bomba itu disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.

“Saya mengambil maklum cadangan kerajaan kepada pihak Peguam Negara untuk menuduh 12 orang suspek bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang merusuh dan menyerang jentera bomba dan mengadakan semula inkues untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 339 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

“Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.

Ini tidak setimpal dengan nyawa seorang penjawat awam yang dibunuh,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pendakwaan yang harus dikenakan kepada mereka adalah kesalahan berkaitan dengan jenayah membunuh seperti yang diperuntukkan dalam bab 16 Kanun Keseksaan dan bukan kesalahan himpunan haram.

“Apatah lagi kesalahan dilakukan adalah jenayah amat serius terhadap seorang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Semalam, kerajaan menjelaskan kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.