Casillas umum persaraan

Casillas umum persaraan

Penjaga gol legenda Sepanyol, Iker Casillas secara rasmi mengumumkan persaraannya dalam arena bola sepak profesional menerusi laman sosial peribadinya.

Pengumuman itu pasti membuatkan Casillas yang berusia 39 itu dikenang sebagai antara penjaga gol terbaik dalam lipatan sejarah bola sepak dunia.

Casillas telah menikmati pelbagai kejayaan ketika menyarung jersi Real Madrid, antaranya mengungguli saingan Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 1999/00, 2001/02 dan 2013/14 serta muncul juara La Liga sebanyak lima kali.

Beliau turut membantu Real Madrid menjuarai Piala Dunia Kelab FIFA 2014 dan Copa del Rey 2010/11 dan 2013/14.

Memilih untuk berhijrah ke FC Porto pada musim 2015/16, Casillas menjadi sebahagian daripada skuad tersebut yang menjuarai Primeira Liga 2017/18 serta Piala Super Portugis 2018.

Di pentas antarabangsa bersama skuad La Roja, Casillas menjadi tonggak utama dan kapten Sepanyol ketika muncul juara Piala Dunia 2010 serta Kejuaraan Eropah dua edisi berturut-turut iaitu 2008 dan 2012.

Casillas sebelum ini yang masih aktif beraksi bersama FC Porto dikejutkan dengan serangan jantung dialami ketika sesi latihan pasukan pada Mei tahun lalu.

Sebaik sahaja pulih, beliau diserapkan ke barisan kejurulatihan Porto. Serangan jantung itu mungkin menjadi faktor Casillas bersara.