Dalang letupan tidak akan terlepas

Dalang letupan tidak akan terlepas

[Dunia] Mereka yang bertanggungjawab menyebabkan dua letupan kuat sehingga menggegarkan ibu kota Beirut tidak akan terlepas, kata Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab.

Hassan Diab turut memberi jaminan kerajaan akan membawa mereka yang bertanggungjawab terhadap dua letupan besar di pelabuhan Beirut, yang mengorbankan lebih 70 orang dan mencederakan ribuan orang ke muka pengadilan.

“Dalang yang bertanggungjawab terhadap malapetaka ini pasti akan membayar harganya,” katanya ketika membuat ucapan dalam stesen televisyen seperti dilapor AFP.

“Kita juga meminta bantuan antarabangsa untuk membantu Lubnan, yang sudah terjebak dalam krisis ekonomi terburuknya dalam beberapa dekad.

“Saya mengirim rayuan mendesak kepada semua negara yang bersahabat dan bersaudara serta mengasihi Lubnan, menghulurkan bantuan kepada kita,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai kanan keselamatan mengatakan letupan yang menggegarkan Beirut mungkin disebabkan oleh ‘bahan letupan’ yang disita dan disimpan di gudang ‘selama bertahun-tahun’.

Hassan Diab dalam ucapannya turut memberi jaminan akan mengumumkan mengenai ‘gudang berbahaya itu yang sudah ada selama enam tahun sejak 2014’.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang waktu tempatan, dua letupan kuat menggegarkan Beirut sehingga mengakibatkan kira-kira puluhan orang terbunuh manakala lebih 3,000 cedera.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan letupan yang menggegarkan Beirut sebagai ‘serangan yang mengerikan’.

“Kita mempunyai hubungan yang baik dengan penduduk Lubnan dan akan cuba membantu mereka. Ia adalah serangan yang amat teruk,” kata Trump.



Photo Credit: Hassan Ammar / AP