Hukum pihak sengaja terbalikkan Jalur Gemilang

Hukum pihak sengaja terbalikkan Jalur Gemilang

Hukuman tegas harus dikenakan terhadap individu atau institusi yang sengaja menterbalikkan Jalur Gemilang, kata Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Kuala Kangsar berkata, perbuatan sedemikian sudah tidak boleh diterima kerana tidak wajar berlaku dan dianggap biadap sekiranya disengajakan.

Katanya, ia harus menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tertentu kerana lambang negara itu tiada kena mengena sama sekali dengan soal kebencian mahupun politik kepartian.

“Signifikasi pemasangan bendera secara terbalik ini sebenarnya membawa maksud bertentangan dengan nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara khususnya Malaysia.

“Secara peribadi, perbuatan menterbalikkan Jalur Gemilang adalah tindakan yang dungu, kurang ajar serta biadap terhadap negara kita,” katanya menerusi kenyataan.

Mustafa Shah berkata, menterbalikkan Jalur Gemilang bermaksud meletakkan bulan bintang, warna kuning dan biru ke bawah. Pasti ada niat yang tersirat pihak berkenaan kerana setiap elemen itu mempunyai maksudnya tersendiri.

“Jalur Gemilang adalah maruah negara dan tiang seri dalam menyatukan masyarakat majmuk di bawah satu bumbung.

“Ia mempunyai nilai dan darjat yang melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan negara kita. Bahkan bendera ini perlu dipertahan dan dijaga kerana ia melambangkan perpaduan kepada Malaysia yang tercinta ,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial sebuah sekolah jenis kebangsaan (SJK) di Klang menggantung bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, dilaporkan berkata pihaknya membuat siasatan sebaik sahaja dimaklumkan.

“Hasil siasatan di sekolah berkenaan mendapati insiden berkenaan berikutan kerani tersilap menaikkan bendera dan ia tidak disedari,” katanya.