Keluarga Adib kecewa, cadangan semula inkues dianggap buang masa

Keluarga Adib kecewa, cadangan semula inkues dianggap buang masa

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kecewa dengan cadangan mengadakan semula inkues kematian anggota bomba itu.

Bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata cadangan itu hanya membuang masa, selain tidak menghormati keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang memutuskan punca kematian disebabkan perbuatan jenayah membabitkan dua atau lebih individu tidak dikenali.

Katanya, cadangan itu akan melengahkan lagi keadilan buat arwah anaknya setelah hampir dua tahun kejadian itu berlaku.

“Kalau nak siasat mereka sebagai merusuh itu pada saya okay, cuma tangkap sekali individu yang menyebabkan anak saya terbunuh dalam kejadian rusuhan itu.

“Kita sudah buang banyak masa dan banyak tenaga membabitkan ramai orang. Mahkamah Koroner membuat keputusan berdasarkan siasatan dan saksi termasuk banyak pakar dipanggil sebelum keputusan dibuat.

“Siasatan polis harus menjurus kepada keputusan Mahkamah Koroner dan perlu menghormati keputusan itu, kenapa mereka tak boleh terima keputusan itu,” katanya seperti dilapor BH.

Semalam, kerajaan menjelaskan kertas siasatan kes kematian Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu dengan disusuli beberapa cadangan.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin ketika memperincikan perkembangan kes itu berkata, cadangan lain turut dikemukakan adalah membuka semula inkues untuk siasatan jika mendapat persetujuan Peguam Negara.