Kerajaan sasar siap bina 80,000 rumah mampu milik

Kerajaan sasar siap bina 80,000 rumah mampu milik

Fitri Nizam

Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan pembinaan 80,000 rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan penduduk di Wilayah Persekutuan sebelum 2028.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata sehingga Jun ini perintah pembangunan dikeluarkan untuk membina 57,799 unit rumah melalui 93 projek kepada warga Wilayah Persekutuan membabitkan 54,111 unit di Kuala Lumpur, Putrajaya (2,908 unit) dan Labuan (780 unit).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,431 unit rumah di 26 projek siap dibina dengan jumlah lebih kurang 24 peratus manakala 27,332 unit rumah di 37 projek masih dalam pembinaan,” katanya.

“Terdapat beberapa projek dilaporkan tergendala akibat keputusan pra-matang pentadbiran terdahulu sekali gus mengakibatkan jumlah peratusan yang belum disiapkan agak tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Wilayah Persekutuan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehingga 31 Jun lalu, Annuar berkata terdapat 35,141 jumlah permohonan berdaftar dan masih aktif di bawah sistem e-perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Daripada jumlah itu, sejumlah 1,080 pemohon diluluskan oleh jawatankuasa tetapi tawaran belum dibuat kerana tahap pendapatan mereka perlu disemak terlebih dahulu oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Selain pembinaan rumah mampu milik, Annuar menegaskan pihaknya prihatin dan tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah memerlukan rumah sewa sebelum berkeupayaan memiliki rumah sendiri.