KJ tak ‘move on’ lagi ke?, kata Puad

KJ tak ‘move on’ lagi ke?, kata Puad

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi sekali lagi mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin masih belum dapat bergerak ke hadapan.

Ia susulan kenyataan terbaharu Khairy yang sekali lagi menegaskan bahawa mesejnya tidak boleh dinafikan yang Umno perlu bergerak ke hadapan.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu seperti dilaporkan Astro Awani berkata, masih ada yang mahu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali menerajui parti sebagai presiden Umno, walaupun sudah didapati bersalah di mahkamah.

Mengulas mengenainya, Mohd Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkata kenyataan terbaharu Khairy itu semakin meleret hingga mempersoal perkara berkaitan kepemimpinan Umno.

“Soalnya, kamu bangkit perkara yang tidak berbangkit kononnya Najib mahu mengheret UMNO. Kalau soal ‘move on’, Najib sign (tandatangan) SD (akuan bersumpah) setuju Muhyiddin jadi PM 8.

“Kalau ikut dendam dan permusuhan, dia tidak sign. Tetapi dia mahu kerajaan move on demi rakyat. Ada Najib hasut KJ dan MP (Ahli Parlimen) lain jangan sign.

“Bila PN (Perikatan Nasional) jadi kerajaan, ada Najib minta KJ dan MP Umno desak Muhyiddin supaya gugur kes dia. Dan selepas dia dihukum bersalah ada Najib minta KJ dan MP Umno ugut Muhyiddin dengan undi tidak percaya,” tulis Mohd Puad di Facebooknya.

Beliau berkata Najib menandatangani SD kerana mengikut keputusan bersama, berbanding Khairy yang tidak bersama dalam sesuatu keputusan, antaranya enggan keluar Dewan Rakyat bila semua Ahli Parlimen pembangkang lain berbuat demikian suatu ketika dulu.

“Bila kamu kalah tanding Presiden Umno, itu bukan bermakna Umno tolak orang muda tetapi pengundi muda Umno yang memilih Presiden pun tolak kamu.

“Terbukti selepas kalah kamu menghilang. Kamu yang tidak ‘move on’. Jangan tegak benang basah. ‘Move on’ lah KJ.”

Susulan keputusan kes Najib pada 28 Julai lalu, Khairy dilaporkan berkata walaupun semua pihak berhak memberi sokongan moral kepada bekas Perdana Menteri itu, namun beliau berharap parti tidak diheret sekali dalam kes tersebut.

Khairy berkata, susulan kenyataannya itu, beliau dikecam pelbagai pihak hingga didakwa cuba jadi ‘hero’ bagi menyelamatkan keadaan parti.