Kluster Sivagangga: Restoran tumpuan pemandu kenderaan berat

Kluster Sivagangga: Restoran tumpuan pemandu kenderaan berat

[Covid-19] Penduduk Napoh, Kubang Pasu mendakwa Restoran Nasi Kandar Salleh yang dikenal pasti lokasi penularan Kluster Sivagangga, menjadi lokasi persinggahan pemandu kenderaan berat.

Mereka mendakwa, pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan terutama pemandu kenderaan berat yang berulang-alik ke kawasan Bukit Kayu Hitam akan singgah untuk menikmati nasi kandar kerana lokasinya yang strategik.

Keadaan itu menimbulkan persoalan selepas kedai berkenaan menjadi lokasi penyebaran Covid-19 hingga menyebabkan Kluster Sivagangga sekali gus dikhuatiri pelanggan yang makan di situ tanpa sedar turut dijangkiti.

Kosmo! melaporkan kedai makan itu terletak di tepi lebuh raya selain berhadapan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh.

Penduduk Kampung Kubang Betong, Muhammad Faris Md Yusoff, berkata kedai makan itu biasanya dikunjungi pengguna lebuh raya yang mahu ke Bukit Kayu Hitam atau ke selatan.

“Kedai itu dibuka sejak 2008, bagaimanapun saya dan ahli keluarga tidak pernah makan di situ,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rokiah Awang, berkata kedai itu biasanya dikunjungi pemandu kenderaan berat.

“Penduduk setempat jarang pergi ke kedai tersebut kerana banyak lagi pilihan kedai makan di sini,” katanya.