‘Layanan istimewa’ kenderaan tempatan harus diteliti semula

‘Layanan istimewa’ kenderaan tempatan harus diteliti semula

Fitri Nizam

[Parlimen]
Dasar Automatif Nasional yang memberi ‘layanan istimewa’ kepada kenderaan buatan tempatan sejak 1985 harus diteliti semula, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata, tindakan itu harus dilakukan bagi memacu taraf dan kualiti perusahaan industri automotif negara.

Menjadikan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) sebagai contoh, beliau menyifatkan projek pertama kenderaan nasional itu sebagai ‘stumbling block’ atau penghalang kepada industri automotif negara.

“Malah, kita kenakan cukai kepada kemasukan kereta import dan Proton diberikan layanan istimewa oleh kerajaan untuk sekian lama.

“Ini membantutkan banyak industri, khususnya dalam kalangan syarikat kereta berskala besar yang nak melabur di Malaysia, tetapi mereka berpindah ke Thailand.

“Oleh itu, dasar seperti ini harus diteliti semula untuk membangunkan industri automotif negara,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai sama ada kerajaan akan memberi penekanan terhadap pembangunan kereta elektrik berbanding kereta terbang atau ‘super dron’.

Wan Junaidi berkata, Malaysia ketika ini mempunyai masalah dari segi dasar dan perundangan berkaitan penggunaan kereta elektrik, sekali gus menyaksikan peralihan kepada mod pengangkutan sedemikian seakan terencat.

“Tidak seperti China yang menyaksikan jutaan motosikal elektrik memenuhi segenap pelosok jalan di republik itu kerana mereka mempunyai perundangan dan dasar tepat.

“Kita perlu selaraskan dasar dan perundangan supaya ia memberi laluan kepada penggunaan, pembangunan dan kemajuan kenderaan elektrik di Malaysia,” katanya.