Letupan Beirut: Anwar, Zahid zahir simpati

Letupan Beirut: Anwar, Zahid zahir simpati

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersimpati dengan situasi yang melanda warga Lubnan susulan insiden letupan di Beirut.

Katanya, beliau mengikuti rapat insiden letupan besar yang meragut puluhan nyawa serta mencederakan ribuan orang awam yang lain.

“Insiden ini ternyata menambah derita Lubnan yang kini turut dihimpit krisis kesihatan dan ekonomi.

“Semoga pihak berkuasa Lubnan dapat mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan letupan berkenaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa sedih dengan laporan menyayat hati di Beirut taktala seluruh dunia masih berperang dengan wabak Covid-19.

“Semoga kerajaan Lubnan dan rakyatnya tabah menghadapi ujian getir ini. Kepada Allah SWT jualah tempat kita bergantung harap dan memohon perlindungan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.