Letupan Beirut: Baja ammonia nitrat didakwa punca malapetaka

[Dunia] Sejumlah 2,750 tan baja ammonia nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun dalam gudang di kawasan pelabuhan didakwa punca letupan besar yang menggegarkan Beirut, petang semalam.

Perdana Menteri Lubnan, Hassan Diab berkata baja kimia untuk pertanian itu adalah punca letupan malapetaka yang setakat ini mengorbankan lebih 70 nyawa.

“Siasatan menyeluruh sedang dilakukan begitu juga mengesan individu yang bertanggungjawab,” katanya seperti dilaporkan AFP.

Ketua Keselamatan Awam, Abbas Ibrahim pula berkata bahan mudah meletup itu dirampas beberapa tahun lalu dan disimpan di gudang yang terletak berhampiran lokasi tumpuan orang ramai bagi aktiviti membeli belah dan berhibur pada waktu malam.

Majlis Pertahanan Lubnan turut mengisytiharkan Beirut sebagai zon bencana dan merayu negara sekutunya untuk menghulurkan bantuan.

Kebanyakan negara dunia merakamkan ucapan takziah termasuk negara Teluk, begitu juga Amerika Syarikat yang menawarkan penghantaran bantuan.

Keadaan hospital yang bertungkus-lumus merawat pesakit Covid-19, semakin sesak dengan individu tercedera akibat letupan.

Photo Credit: Hussein Malla / AP