Najib risau ramai rakyat hilang kerja

Najib risau ramai rakyat hilang kerja

Datuk Seri Najib Razak hari ini meluahkan rasa risau terhadap nasib rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Menerusi hantaran di Facebooknya, bekas Perdana Menteri itu turut berkongsi tangkap layar laporan berita mengenai juruterbang dipercayai bunuh diri akibat tekanan diberhentikan kerja.

Najib berkata, ramai rakyat kehilangan kerja dan menghadapi tekanan serta kebuntuan akibat keadaan ekonomi tidak baik, namun beliau pasti ada penyelesaiannya.

“Jangan pendam seorang diri. Sama-sama kongsi dan selesaikannya dengan keluarga, rakan-rakan.

“Ada juga agensi kerajaan dan NGO yang sudi mendengar luahan masalah dan bantu,” tulisnya.

Najib juga mengajak pengikut Facebooknya untuk berkongsi luahan di laman sosial miliknya.

“Saya dengar saya baca. ‘Guys’ tanya khabar dengan kawan, saudara, jiran. Satu mesej atau panggilan, besar maknanya. Hulurkan tangan. Saling bantu membantu.

“Semoga dipermudahkan segala urusan. Dekatkan diri kita dengan Allah, jangan tinggalkan agama. Lebihkan berdoa. Insya-Allah.

“Sesungguhnya Allah itu maha pemurah dan maha penyayang,” katanya.

Terdahulu, bekas juruterbang maut selepas terjun dari tingkat 12 unit kondominiumnya di Bandar Kinrara, Puchong, kelmarin, dipercayai akibat tekanan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata lelaki itu yang bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat tempatan, diberhentikan kerja dua bulan lalu.

Dia dipercayai mengalami tekanan dan tidak dapat mengawal diri lalu terjun dari rumahnya.