PRN Sabah: Bersatu, Umno kombinasi terbaik tumbangkan Warisan

PRN Sabah: Bersatu, Umno kombinasi terbaik tumbangkan Warisan

[PRN Sabah] Gandingan Bersatu dan Umno dianggap kombinasi terbaik mengetuai gelombang rakyat bagi menentang Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akbar, berkata kombinasi itu diperkuatkan lagi dengan kerjasama parti lain yang menyokong Perikatan Nasional (PN) di Sabah.

Malah, katanya, Bersatu Sabah sentiasa bersedia menghadapi PRN walaupun diadakan secara mengejut.

“Gabungan kepemimpinan baharu Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta ketua parti tempatan lain pasti akan membawa sebuah harapan dan citarasa baharu kepada rakyat Sabah.

“Gabungan kekuatan semua parti di bawah PN ini akan menjadi nilai tambah kepada kerajaan PN di persekutuan dan kelebihan kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Sabah memberi peluang dan ruang kepada gabungan kepemimpinan baharu itu untuk mentadbir dan membuktikan keupayaan mengemudi negeri ke arah kemajuan dan kemakmuran rakyat.

“Agenda hak rakyat Sabah dan pembangunan negeri akan sentiasa menjadi fokus utama gabungan kepemimpinan ini.

“Peluang dan ruang yang lebih terbuka kepada pimpinan baharu dan anak muda untuk terlibat dalam pentadbiran dan pembangunan negeri Sabah,” katanya.