PRN Sabah: PBS kembali pertaruh ‘jabat tangan’

PRN Sabah: PBS kembali pertaruh ‘jabat tangan’

Thaddius Unnip

[PRN Sabah] Parti Bersatu Sabah (PBS) kembali menggunakan lambang parti sendiri untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Lambang ‘jabat tangan’ atau bersalaman dengan latar belakang peta Sabah itu menyimpan makna besar dalam sejarah parti itu kerana pernah membawa PBS ke puncak kegemilangan antara 1985 hingga 1994.

Berikutan itu, lambang berkenaan dipertaruhkan dalam cubaannya untuk mengulangi kejayaan yang pernah dikecapi sebelum ini.

Bagaimanapun, parti itu sebenarnya sudah mula menggunakan lambang sendiri ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, tahun lalu.

Kali terakhir PBS menggunakan lambang sendiri ketika pilihan raya ialah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Likas 2001.

Ketika itu, PBS juga adalah sebuah parti pembangkang seperti sekarang selepas keluar dari Barisan Nasional (BN) pada 1990.

Bagaimanapun, parti itu menyertai semula BN pada 2002 dan menggunakan lambang BN ketika pilihan raya umum (PRU) pada 2004, 2008, 2013 dan 2018.

PBS sekali lagi mengambil langkah keluar dari gabungan itu berikutan kejatuhan kerajaan BN pada PRU 2018.

Walaupun sekarang parti itu menyokong Perikatan Nasional (PN) yang turut disertai BN, belum ada kata sepakat mengenai penggunaan satu lambang seperti diamalkan BN sebelum ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata penggunaan lambang sendiri sangat bermakna kepada parti yang berusia 35 tahun itu.

“Saya yakin ramai orang lama berumur 50 tahun ke atas tidak sabar untuk melihat lambang ‘jabat tangan’ tertera di kertas undi mereka,” katanya.

Katanya, PBS menyasarkan untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi pada PRN kali ini bagi menjadikan parti itu rakan atau pemain utama dalam kerajaan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Radin Malleh, sebelum ini menyatakan parti itu bercadang meletakkan calon di 30 kerusi yang dikenal pasti boleh dimenangi.

Selain kawasan Kadazandusun dan Murut, PBS sebelum ini juga pernah menguasai kawasan majoriti Cina.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PBS hanya bertanding di 12 DUN kerana terpaksa berbahagi kerusi dengan parti komponen BN yang lain.