RM60 juta peruntukan untuk Kampung Baru Cina

RM60 juta peruntukan untuk Kampung Baru Cina

Fitri Nizam

[Parlimen] Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM60 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina pada tahun 2020.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata peruntukan pembangunan Kampung Baru Cina ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan dan meneruskan program pembangunan kemudahan infrastruktur dan komuniti Cina.

Katanya, peruntukan Program Pembangunan Kampung Baru Cina terbahagi kepada tiga program membabitkan Program Pembangunan Infrastruktur sebanyak RM42 juta.

“Program Bantuan Baik Pulih Rumah sebanyak RM5 juta dan Program Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru Cina sebanyak RM13 juta,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin di Parlimen hari ini.

Zuraida berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan peneraju bagi program di Kampung Baru Cina.

“Oleh itu, mekanisme pengagihan peruntukan adalah berdasarkan kepada permohonan daripada MPKK mengikut keperluan semasa.

Bagi tahun 2019, sebanyak 16 program Kampung Baru di Parlimen Rasah telah diluluskan dengan kos berjumlah RM118,100,” katanya.