Sabah sebahagian dari Malaysia sampai bila-bila

Sabah sebahagian dari Malaysia sampai bila-bila

Fitri Nizam

[Parlimen]
Malaysia tidak akan mengiktiraf mahu pun memenuhi sebarang tuntutan asing yang mahu menuntut Sabah.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika menegaskan perkara itu berkata, Sabah adalah sebahagian daripada gagasan Malaysia sampai bila-bila.

“Saya telah membidas kenyataan Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr. Malaysia mengutuk dan menolak Tweet (ciapan) tidak bertanggungjawabnya yang mendakwa Sabah bukan sebahagian Malaysia.

“Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak akan mengiktiraf apatah lagi memenuhi tuntutan asing terhadap Sabah.

“Pada masa sama, saya ingin menyatakan di sini, bahawa Sabah adalah milik Malaysia dan akan tetap menjadi sebahagian Malaysia sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang membangkitkan persoalan berhubung ciapan Setiausaha Luar Filipina berkenaan di Twitternya baru-baru ini.

Ahad lalu Locsin membuat hantaran “Sabah is not in Malaysia if you want to have anything to do with the Philippines”. (Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina).

Hishammuddin membidas kenyataan berkenaan menerusia laman Twitternya dan pada masa sama mengarahkan Wisma Putra memanggil Duta Filipina ke Malaysia Charles C. Jose pada Isnin untuk menjelaskan isu tersebut.