‘Saya bermastautin di KL, YB belum lahir’

‘Saya bermastautin di KL, YB belum lahir’

Fitri Nizam

[Parlimen]
Penggulungan sebelah petang Dewan Rakyat hangat apabila Tan Sri Annuar Musa mempertahankan portfolionya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

Peluang sesi itu digunakan Annuar untuk menjawab Ahli Parlimen PH yang mendakwa beliau tidak layak menjaga kepentingan warga ibu kota kerana berasal dari negeri lain.

Beliau berkata, sindiran Ahli Parlimen PH tidak wajar kerana bekas Menteri Wilayah Persekutuan pada era PH juga adalah Khalid Samad (PH-Shah Alam) yang bukan warga ibu kota.

“Ada sindiran mengatakan saya ini orang luar, hendak campur tangan hal orang Kuala Lumpur. Disebutkan juga saya ini orang Ketereh, Kelantan hendak campur tangan soal orang Kuala Lumpur.

“Saya sebutkan di sini, kita tidak boleh ungkit menteri itu datang dari mana, sebab kalau tanya kerajaan dahulu, dari mana datangnya Shah Alam (Khalid) yang dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

“Shah Alam juga dilahirkan di Kota Bharu, sebahagian keluarganya datang dari Johor.

“Kita juga tahu, Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) jadi Perdana Menteri, dia bukannya orang Kuala Lumpur. Perkara ini bersifat peribadi sedikit, jadi janganlah hasut rakyat menggunakan sentimen sama ada orang Kuala Lumpur atau tidak, itu tidak manis,” katanya.

Annuar dipercayai merujuk kenyataan Hannah Yeoh (PH-Segambut) dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang didakwa mempertikaikan kelayakan Annuar sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

Annuar: Yang Berhormat (YB) sendiri bukan orang Kuala Lumpur. YB orang Selangor dan masih bermastautin di Selangor, menjadi wakil rakyat di Selangor.

Hannah Yeoh: Saya dilahirkan di Kuala Lumpur YB Menteri. Saya dilahirkan di Hospital Sentosa Kuala Lumpur.

Annuar: Hospitalnya saja. Tapi YB duduk di Selangor, lahir mungkin di hospital di Kuala Lumpur.

Fahmi: Saya membesar dekat dengan rumah Tan Sri.

Annuar: Saya tahu YB punya alamat di Jalan Setia Bakti di Kuala Lumpur, juga saya tahu kerana YB kahwin dengan orang situ.

Fahmi: Ya betul… betul. Dekat dengan YB Pagoh.

Annuar: Tapi YB lahir di hospital lain, bukan di situ. Saya sudah study (kaji).

Ahli Parlimen Ketereh itu turut menjelaskan beliau sudah pun bermastautin dan memiliki rumah pertama di Kuala Lumpur sedangkan Hannah dan Fahmi masih belum dilahirkan.