‘Saya tak boleh jawab apa yang saya tidak tahu’

‘Saya tak boleh jawab apa yang saya tidak tahu’

Fitri Nizam

[Parlimen] Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak tahu berhubung dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan kepada syarikat Aerodyne Ventures Sdn Bhd (Aerodyne).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memaklumkan beliau tidak boleh memperincikan dana berkenaan kerana ia disumbangkan kepada pihak tertentu untuk projek kereta terbang.

“Saya tidak boleh beritahu apa terjadi kepada dana itu oleh kerana sudah disumbangkan.

“Saya cukup yakin kementerian yang menyumbang sumber kewangan ini mengguna pakai dan memantau pembangunannya dan saya tak boleh menjawab apa yang saya tidak tahu,” katanya menjawab pertanyaan lisan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Terdahulu, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) bertanya perkembangan terkini pembangunan industri kereta terbang, sama ada ia masih diteruskan di bawah kementerian itu.

Dalam penjelasan beliau, Wan Junaidi memaklumkan buat masa ini pembangunan industri kereta terbang diterajui dan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

“Projek kereta terbang tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Namun MEDAC (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan usahawan PKS tempatan dalam industri ini yang fokus kepada perkhidmatan dron atau superdrone,” katanya lagi.

November tahun lalu, Jawatan kuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa pihak berkuasa mengaudit pelaburan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan kepada Aerodyne.

Menerusi laporan PAC berkaitan projek kereta terbang, jawatan kuasa itu memaklumkan syarikat tersebut merupakan sebuah firma swasta yang dikaitkan dengan projek berkenaan.

Menurut jawatankuasa itu, dana itu disalurkan kepada Aerodyne melalui syarikat dikenali sebagai VentureTech Sdn Bhd (VentureTech), sebuah anak syarikat Malaysian Industry-Government Group for High Technology (Might) yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.