SPRM bebas buka semula siasatan banglo Guan Eng

SPRM bebas buka semula siasatan banglo Guan Eng

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk membuka semula siasatan berhubung pembelian banglo bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jika ada bukti baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata tidak ada halangan bagi SPRM untuk melakukannya kerana ia adalah badan penguatkuasaan yang bebas.

“SPRM adalah sebuah badan bebas dalam menjalankan penyiasatan terhadap kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Tiada halangan untuk membuka semula siasatan sekiranya terdapat bukti baru di dalam kes itu,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas).

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, peguam negara di bawah pentadbiran PH, Tommy Thomas pada awalnya telah memohon ke mahkamah untuk pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes berkenaan.

“DNAA bermaksud tertuduh dibebaskan tanpa dilepaskan dan bukan bermaksud pelepasan sepenuhnya.

“Namun demikian mahkamah setelah mendengar hujah pihak peguam
negara terdapat new lead (petunjuk baru), mahkamah telah memberikan pelepasan sepenuhnya kepada tertuduh.

“Selepas itu peguam negara tidak lagi membuat apa-apa permohonan rayuan berhubung keputusan mahkamah,” katanya.