126 individu dituduh salah guna kad pengenalan

126 individu dituduh salah guna kad pengenalan

Fitri Nizam

[Parlimen]
Seramai 126 individu ditahan dan dituduh atas kesalahan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri sama ada milik orang lain atau palsu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata semua mereka ditahan dalam operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2019 hingga 30 Jun tahun ini.

Katanya, mereka dituduh mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara.

“KDN dan JPN sentiasa komited dalam usaha memburu pengguna dan ejen pemalsuan dokumen pengenalan diri dengan menjalankan operasi penguat kuasaan di seluruh negara dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain,” katanya di Dewan Rakyat menerusi jawapan bertulis.

Terdahulu, Wan Hassan Ramli (PAS-Dungun) meminta Hamzah menjelaskan isu pemilikan kad pengenalan palsu dan jumlah yang dikesan dari operasi besar-besaran dijalankan serta apakah langkah keselamatan pada masa depan.

Hamzah berkata, langkah keselamatan yang diambil adalah mempergiat intipan, risikan dan operasi anti penyalahgunaan dokumen palsu seperti kad pengenalan dan dokumen yang dikeluarkan oleh JPN.

Selain itu, KDN menjalankan penguat kuasaan secara bersepadu bersama agensi penguat kuasaannya dengan lebih kerap dan menyalurkan aduan serta mengambil tindakan terhadap kakitangan yang disyaki terlibat ke unit integriti (UI) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

“Kerajaan juga memperhalusi dan menambahbaik perundangan dan peraturan sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan penguat kuasaan dan kawal selia urusniaga berkaitan pengeluaran kad pengenalan.

“Sejajar usaha kerajaan dalam membendung masalah berkenaan, kementerian menasihatkan mana-mana individu atau institusi yang meragui ketulenan dokumen pengenalan diri untuk merujuk terus kepada KDN atau JPN bagi tujuan semakan data dan pemeriksaan fizikal dokumen,” katanya.