Al Jazeera tak pernah mohon temubual menteri

Al Jazeera tak pernah mohon temubual menteri

Pejabat Menteri Pertahanan tidak pernah mendapat sebarang permohonan daripada Al-Jazeera untuk menemubual Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum stesen penyiaran antarabangsa itu membuat atau menyiarkan laporan dokumentari “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”.

Perkara itu dinyatakan kepada polis oleh Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pertahanan, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir ketika diambil keterangan di Bukit Aman semalam bagi membantu siasatan kes laporan dokumentari tersebut.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) cuma ambil keterangan daripada kami mengenai Al-Jazeera. Pihak Bukit Aman ambil keterangan hari ini (semalam) hanyalah proses biasa.

“Al-Jazeera tidak pernah membuat permohonan sama ada untuk temubual atau mendapatkan maklumat daripada Menteri Kanan Pertahanan sehinggalah mereka keluarkan dokumentari itu.

“Selepas itu barulah mereka buat permohonan temubual tapi sebab dokumentari sudah dikeluarkan, jadi Datuk Seri Ismail Sabri buat keputusan untuk tidak komen apa-apa kepada Al-Jazeera,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Ruhaidini turut memberitahu polis bahawa segala maklumat disiarkan dalam dokumentari itu tidak benar dan tidak berasas.

“Antara soalan tadi adalah mengenai fakta disiarkan dalam dokumentari berkenaan. Kita dapati memang banyak fakta salah, tidak tepat dan menggambarkan seolah-olah Malaysia menindas rakyat asing,” katanya.

Turut dipanggil ke Bukit Aman ialah Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Zulkifli Bujang dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Normazalina Mohd Nor.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu mereka dipanggil ke Bukit Aman kerana terlibat dalam semua operasi berkenaan Covid-19 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita pun terlibat dalam operasi Covid-19, jadi sama ada tepat laporan yang mereka buat itu juga membabitkan kita punya maklumat yang perlu diberikan dari segi mendapat kebenaran daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri) sebelum membuat siaran,” katanya.

Dalam laporan video berdurasi hampir 26 minit itu, Al Jazeera mendakwa telah membuat beberapa permintaan untuk menembual Ismail, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan wakil beliau, namun permintaan itu ditolak.

Kelmarin, polis mengesahkan menggeledah tiga lokasi sekitar Lembah Klang melibatkan stesen penyiaran Al Jazeera, Astro dan Unifi TV berkaitan siasatan penerbitan dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Serbuan turut merampas komputer dan kesemua rampasan dihantar ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk analisa lanjut.