Anjing peliharaan serang wanita, pemilik didenda RM2,000

Anjing peliharaan serang wanita, pemilik didenda RM2,000

Kecuaian membawa padah kepada orang lain, itu yang boleh digambarkan kepada seorang lelaki selepas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

Dia dituduh cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang seorang wanita sehingga cedera, bulan lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Liew Sea Hai, 43, didakwa cuai dan menyebabkan haiwan itu mencederakan Purba Evita Kristina, 23, di hadapan rumah Nombor 5, Jalan Marikh 8, Taman Tanjung Minyak Perdana, Melaka kira-kira jam 9.30 malam, 27 Julai lalu.

Sea Hai didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang bekerja sebagai nelayan, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Terdahulu, Sea Hai yang diwakili peguam
Surendran Chelvarajah, memohon agar mahkamah dapat mengurangkan hukuman kerana sudah menyesali kejadian itu.

“Anjing OKS (orang kena saman) juga sudah dirantai, tetapi kecuaiannya pada hari kejadian adalah membiarkan pagar rumah itu terbuka.

“Ketika kejadian, rantai besi yang mengikat anjing terputus menyebabkan ia lari keluar dari rumah disewanya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman, memohon tertuduh dikenakan hukuman berat kerana kes berkenaan sudah tular dan perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Mohamad Izwan kemudian menetapkan denda maksimum RM2,000, manakala penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Beliau turut mengarahkan anjing terbabit diserah kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk tindakan lanjut.

Baru-baru ini, tular seorang wanita cedera selepas diserang dan digigit anjing peliharaan ketika berjalan di kawasan perumahan di Tanjung Minyak.

Mangsa dipercayai terpaksa menggunakan tangannya untuk mempertahankan diri daripada terus diserang haiwan terbabit yang cuba menggigit lehernya.