Armada Sabah ajak pimpinan PN Plus pupuk keharmonian, kerjasama

Armada Sabah ajak pimpinan PN Plus pupuk keharmonian, kerjasama

Nilam Oshman

Armada Bersatu Sabah mahu terus memupuk keharmonian dalam kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) Plus demi kesejahteraan rakyat negeri itu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalannya, Ceaser Mandela Malakun berkata kekuatan dimiliki semua parti dalam PN Plus, jika digabungkan bakal menjadi satu ikatan ampuh untuk berdepan lawan terutama Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Keharmonian, sikap hormat-menghormati satu sama lain dan pengalaman pemimpinnya merupakan formula terbaik untuk PN Plus menang, seterusnya menubuhkan kerajaan negeri yang mampu membela nasib rakyat Sabah.

“Gandingan mantap Bersatu, Umno, PBS, PBRS dan STAR dalam PN Plus mampu membina kerjasama politik yang kukuh untuk berdepan dengan parti lawan pada PRN Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ceaser berkata, semua parti memiliki kekuatan, keistimewaan dan kelebihan masing-masing yang boleh digembleng bersama.

“Jadi keharmonian antara ahli akar umbi dan pucuk pimpinan parti dalam PN Plus perlu diperkukuhkan supaya kita mampu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya.

Beliau turut percaya perpaduan dan kerjasama positif itu mampu dicapai dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam parti PN Plus menyelesaikan beberapa isu berbangkit sebelum ini.

“Individu yang memimpin parti dalam PN Plus terdiri daripada mereka yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran negeri serta parti, jadi saya yakin semua pucuk pimpinan ini dapat berbincang serta mencari penyelesaian terbaik untuk semua pihak demi rakyat Sabah.

“Manakala kita sebagai ahli akar umbi perlu terus memberi sokongan dan kepercayaan tak berbelah bahagi kepada para pemimpin kita dalam usaha memantapkan PN Plus di Sabah,” ujarnya.